Malaysia Kini Ranking Ke-9 Dunia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Susulan kejayaan membenam New Zealand dalam perlawanan terakhir Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 semalam, skuad hoki Malaysia kini menduduki ranking kesembilan dunia. Kutipan mata ranking FIH ini amat membantu Speedy Tigers untuk dua temasya iaitu Sukan Asia Hangzhou dan Sukan Olimpik 2024.

Dengan berada pada kedudukan tinggi dari segi ranking FIH, ia mempengaruhi penentuan kumpulan dalam acara hoki temasya itu yang berlangsung pada akhir tahun ini.

Malaysia bukan saja mahu memenangi pingat emas acara hoki di Sukan Asia Hangzhou. Malah, dengan memenangi pingat emas temasya berkenaan, Speedy Tigers boleh layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Dengan memenangi dua perlawanan (kemenangan 3-2 ke atas Chile dan New Zealand), kita bukan saja menghampiri peringkat suku akhir tetapi turut mendaki ke ranking kesembilan dunia.

“Ranking amat penting untuk Malaysia untuk diletakkan dalam kumpulan berbeza, katalah dengan India dan Korea Selatan, dalam Sukan Asia. Ini bagi mengelak pertembungan awal dan hanya perlu berdepan mereka di pusingan kalah mati.

“Sekarang ini, India merupakan pasukan ranking tertinggi Asia dengan nombor enam dengan Korea Selatan nombor 10. Semua ini boleh berubah selepas Piala Dunia tamat dan amat penting untuk Malaysia mengalahkan Sepanyol dan mara ke suku akhir,” kata jurulatih kebangsaan, Arul Selvaraj.

Kedudukan terbaik Malaysia dari segi ranking FIH ialah ranking keempat selepas Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur. Ini disusuli dengan ranking kelapan selepas Piala Dunia 2002 apabila Malaysia kembali bergelar tuan rumah kejohanan tersebut.