Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Atlet berdarah kacukan dan juga naturalisasi sedia dipertimbangkan sekiranya mampu memberi impak seperti yang diharapkan.
Menerusi satu kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program ‘Gold Paris 2024’ Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, perkara ini menjadi salah satu topik perbincangan bersama ahli jawatankuasa.
Katanya, Malaysia sedia menyelidik dan memanggil mana-mana atlet yang memiliki pertalian darah dan mampu memberi impak yang diharapkan bagi merealisasikan hasrat merangkul emas pertama negara.
“Jawatankuasa akan mengambil pendekatan secara holistik dalam mengenal pasti atlet yang berpengkalan di luar negara yang mempunyai pertalian keluarga dan asal usul dari Malaysia.”
“Mereka yang memiliki prestasi terbaik akan dinilai terutamnaya selaku pesaing di peringkat dunia,” katanya menerusi kenyataan pada malam ini.
Hal ini bertitik tolak daripada penggunaan pemain kacukan seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Darren Lok dan Corbin Ong, sudah lama beraksi bersama skuad Harimau Malaya selain nama-nama seperti Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula (Brazil) dan Liridon Krasniqi (Kosovo) turut menyarung jersi kebangsaan dengan status pemain naturalisasi.
Norza juga sempat memperincikan kriteria yang ditentukan dalam usaha membawa harapan yang lebih bersinar buat Malaysia di Paris kelak.
“Antara kriteria pemilihan ke Program ‘Gold Paris 2024’ yang diepersetujui ialah atlet yang pernah memenangi pingat di Tokyo 2020 dan menduduki kelompok ranking 10 terbaik dunia.”
“Malah, pencapaian memenangi pingat pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia turut menjadi asas pemilihan,” katanya dipetik dari Bernama.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Faizal Azumu juga sudah pun melaungkan hasrat agar impian untuk merangkul emas pertama berjaya direalisasikan pada tahun 2024 kelak.