Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya 27 pingat untuk dimenangi dalam Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.
Sasaran ini dibuat tanpa menetapkan warna pingat – satu langkah yang mengejutkan ramai pihak. Namun begitu, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin mempunyai sebab tersendiri untuk melakukannya.
“Kita kehilangan 12 pingat berbanding edisi lepas, iaitu dua emas daripada tenpin boling, enam perak (dua dari tenpin boling, empat pencak silat) dan empat gangsa (pencak silat) yang tidak dipertandingkan pada kali ini. Kita mendapat maklum balas daripada atlet selepas Sukan SEA lepas, bahawa mereka berasa tertekan jika diletakkan sebagai sandaran.
“Secara dalaman, memang setiap sukan dan atlet ada sasaran, seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mahu meraih dua emas, tetapi kita tidak umumkan untuk elak tekanan. Ada 14 atlet kita yang berada dalam ranking lima teratas Asia, mereka boleh naik podium pada bila-bila masa,” katanya.
Perkara ini turut dipersetujui ketua kontinjen negara, Datuk Chong Kim Fatt. Malah, langkah ini sudah dibincangkan dengan semua pihak termasuk Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun yang bekerjasama dengan MSN.
“Pengumuman sasaran pingat emas sahaja boleh menyebabkan tekanan berlebihan buat atlet dan jejaskan tumpuan mereka pamerkan prestasi terbaik mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2023.
Sukan Asia 2023 menyaksikan 289 atlet negara beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan atau 121 daripada 481 acara yang dipertandingkan.
Antara acara yang bakal jadi sandaran pingat negara ialah terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wushu dan e-sukan.