Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Tatkala skuad senior Malaysia menggalas cabaran di Piala Dunia Hoki 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India, skuad Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan pula bakal bertolak ke Australia esok. Ini sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung pada Disember ini.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan jelajah Australia membabitkan enam perlawanan dengan pasukan bawah 21 tahun Western Australian Institute of Sport (WAIS).
Bagi jurulatih Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim, jelajah ini bukan sekadar membantu anak-anak buahnya mengutip pengalaman berharga menentang pasukan luar. Tetapi itu juga membentuk mereka menjadi pemain yang lebih baik.
“Selepas sesi pemilihan pemain diadakan baru-baru ini, siri jelajah Perth merupakan langkah pertama bagi mempersiapkan pasukan ini menuju ke misi utama pasukan iaitu mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2023.
“Beberapa siri jelajah lain juga sedang diatur dan bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa kejohanan antarabangsa yang bakal disertai oleh pasukan seperti Piala Asia Remaja yang masih belum dimuktamadkan lagi tarikh dan venue kejohanan, Sukan SEA Kemboja dan Piala Sultan Johor 2023 sebelum menuju ke Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Kuala Lumpur,” katanya.