Luahan Hafizh Syahrin Tentang Perjalanan Kariernya Jadi Tanda Tanya

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah baru-baru ini ada mengeluarkan kenyataan berhubung perjalanan gemilang kariernya dan juga tentang masa depannnya dalam sukan permotoran yang menyebabkan tercetusnya pelbagai persoalan.

Pelumba yang berusia 27 tahun itu telah menimbulkan tanda tanya peminat sukan permotoran apabila Hafizh memuat naik satu hantaran di InstaStory miliknya. Apa yang meragukan adalah hantaran tersebut berkisarkan tentang perjalanan karier beliau dan ucapan apresiasi kepada semua yang pernah membantu beliau ketika berada dalam jatuh bangun sepanjang berkecimpung dalam sukan tersebut.

Pelumba pasukan NTS RW Racing GP itu menganggap memori beliau dalam sukan permotoran sejak 2014 adalah sangat bermakna kerana di situlah terciptanya banyak memori pahit dan manis ketika beliau beraksi di pelbagai kejohanan dunia.

“Lapan tahun memori pahit dan manis dalam kejohanan dunia. Terima kasih semua yang sokong saya sampai sini.”

Hafizh turut berterima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini telah membantu dan menyokong dirinya hingga namanya berdiri gah di pentas dunia.

“Pada yang bantu saya selama ini saya tak akan lupa anda semua. Mana yang baik saya ambil dan yang buruk saya lupakan.”

Pelumba yang mesra disapa El-Pescao itu turut menjelaskan bahawa beliau akan memberitahu mengenai perkara ini bila tiba masa yang sesuai.

“Benda baru saya akan beritahu anda, bila kena dengan masa. Kalian memang terbaik, terima kasih.”

Berbaki lagi tiga pusingan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia 2021, Hafizh Syahrin kini menduduki tangga ke-28 secara keseluruhan dan berjaya mengutip sebanyak lapan mata dalam pemburuan tempat pelumba Moto2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *