Liga Super: Penang Raih Kemenangan Sulung, Tewaskan Perak

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas lima kali mencuba, Penang akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama dalam Liga Super musim 2023. Ini selepas mereka berjaya menewaskan Perak di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Tuan rumah yang turun dengan misi memburu kemenangan sulung liga bermula garang sebaik sepak mula. Dan kesungguhan mereka berhasil apabila penyerang Lubnan, Sonny Saad menyumbat gol pertama selepas menyudahkan hantaran Nik Akif Syahiran pada minit keenam.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada anak-anak buah jurulatih sementara Manzoor Azwira Abdul Wahid untuk memburu gol kedua. Dan mereka hampir menambah gol kedua menerusi Rafael Vitor menerusi gerakan satu dua dengan Asnan Ahmad tetapi ia berjaya ditepis oleh penjaga gol pelawat, Bryan See.

Skuad Harimau Kumbang menambah gol kedua menerusi Nik Akif pada minit ke-37. Gol tersebut terhasil akibat kesilapan pertahanan The Bos Gaurus mengawal bola sekaligus mudah direbut bekas pemain Terengganu itu sebelum menolak bola melepasi Bryan.

Anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim bernasib baik mereka tidak ketinggalan 3-0 pada minit ke-42. Ini selepas Faris Shah Mohd Rosli gagal menyempurnakan hantaran Nik Akif dengan bola sepakannya terkena bahagian tepi jaring.

Ketinggalan 2-0 semasa rehat, Perak berusaha untuk bangkit dalam babak kedua. Teong Kim turut memasukkan Sunday Afolabi dan Luciano Guaycochea bagi memantapkan kesebelasan utama.

Kemasukan pemain tengah berusia 30 tahun itu menyaksikan Perak merekodkan percubaan pertama mereka ke arah gol Penang yang dikawal Azfar Arif Sukri. Bagaimanapun, percubaan Guaycochea tidak menemui sasaran.

Kelalaian pertahanan Penang mengakibatkan pasukan pelawat merapatkan jurang menerusi Seo Seon-ung pada minit ke-71. Kegagalan barisan pertahanan diketuai Vitor merantai barisan serangan The Bos Gaurus memakan diri apabila Seon-ung mudah menyempurnakan hantaran Hadi Fayyadh.

Di sebalik gol tersebut, ia langsung tidak mematahkan semangat Penang memburu gol tambahan. Dan tuan rumah mendapat gol ketiga menerusi tandukan bebas pemain gantian Giovane Gomes pada minit ke-82.

Perak cuba bangkit tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini membantu Harimau Kumbang memintas skuad Seladang ke tangga kelapan liga walaupun berkongsi mata sama.

Selepas ini, Perak berdepan tugas sukar di Stadium Perak pada 4 April ini apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT). Manakala Penang berdepan Kedah untuk perlawanan ‘derby’ utara tanah air pada 5 April.