Liew Daren Galas Dua Peranan Di Terbuka Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Terbuka Malaysia edisi 2023 dianggap unik bagi pemain perseorangan negara, Liew Daren. Ini kerana kali ini, dia bukan saja turun sebagai pemain tetapi bertindak sebagai jurulatih untuk pemain-pemain profesional negara.

Ini termasuklah untuk pemain pilihan kedua kejohanan, Lee Zii Jia. Daren dijangka akan duduk di bangku jurulatih apabila Zii Jia berdepan Kodai Naraoka di pusingan pertama.

Pemain perseorangan utama negara itu kini beraksi tanpa jurulatih selepas memilih untuk berpisah dengan jurulatih Indonesia, Indra Wijaya pada November lepas.

“Ini akan jadi pengalaman baru untuk saya sebagai pemain dan jurulatih dalam kejohanan yang sama. Rancangannya ialah mengikuti Zii Jia dan membimbingnya di beberapa kejohanan.

“Saya berharap saya dapat membantu Zii Jia beraksi dengan baik. Saya juga berharap perlawanan kami tidak bertembung,” katanya.

Lawan Daren di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 hari ini ialah pemain muda Perancis, Toma Junior Popov. Dan dia mempunyai rekod baik ke atas Popov dengan dua kemenangan dalam Kejohanan Seluruh England 2022 dan Terbuka Switzerland 2019.

Daren terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan lawannya itu 21-15, 14-21, 21-17. Kini, lawannya di pusingan kedua bukan calang-calang iaitu pemain pilihan utama kejohanan, Viktor Axelsen.