Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dengan rupa paras yang jelita, tidak hairanlah nama Datuk Leong Mun Yee menjadi tumpuan peminat dan lensa kamera semasa aktif sebagai penerjun negara. Tetapi ramai terkejut hari ini apabila Mun Yee sebenarnya sudah berkahwin sejak pertengahan tahun lepas.
Berita ini dianggap mengejutkan kerana walaupun sudah bersara, beliau terus menjadi ikutan ramai di laman media sosial. Mun Yee yang kini menjadi jurulatih terjun negara itu melangsungkan perkahwinan dengan pasangan pilihan hatinya secara senyap-senyap pada pertengahan tahun lalu.
Semasa dihubungi Arena Metro, Mun Yee memberitahu bukan niatnya untuk merahsiakan perkahwinannya itu. Sebaliknya, ia merupakan majlis perkahwinan kecil-kecilan yang hanya membabitkan keluarga pasangan mempelai dan kenalan rapat.
“Betul saya sudah berkahwin dengan pasangan saya pertengahan tahun lalu. Majlis diadakan sederhana bersama keluarga terdekat disebabkan ketika itu masih dalam fasa endemik.
“Sebenarnya, rancangan berkahwin itu memang sudah lama saya fikir sejak ketika saya umumkan persaraan dan tahun lepas barulah saya putuskan untuk kahwin,” katanya.
Walaupun sudah bergelar isteri, Mun Yee masih akan terus menabur bakti sebagai jurulatih terjun negara. Malah, beliau juga tidak sabar untuk membantu pembangunan akar umbi acara berkenaan menerusi akademi terjunnya yang dijangka siap pada April ini.