Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia menjadi satu-satunya wakil negara yang mara ke separuh akhir Terbuka Australia 2023. Ini selepas beliau mengalahkan seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong di peringkat suku akhir.
Selepas menamatkan badi gagal melepasi pusingan pertama di kejohanan ini, Zii Jia berharap dapat mara jauh di bawah bimbingan jurulatih Wong Tat Meng.
Begitupun, Tze Yong yang semakin menunjukkan kemajuan memastikan set pertama dalam genggaman menerusi kemenangan 21-17.
Set kedua menyaksikan kedua-duanya bersaing sengit merebut mata sehingga kedudukan terikat 21-21. Namun begitu, pada akhirnya, anak jati Alor Setar itu mengalahkan Tze Yong dengan keputusan 26-24.
Anak jati Johor Bahru itu cuba memberi tentangan pada set ketiga. Tentangan Tze Yong gagal mengekang keunggulan Zii Jia yang meraih kemenangan 21-19.
Walaupun kalah, ramai memuji ketahanan dan permainan kreatif yang ditonjolkan Tze Yong. Tidak mustahil sekiranya beliau kekal konsisten, Tze Yong boleh saja mencabar kedudukan Zii Jia sebagai pemain perseorangan utama negara.
Selepas ini, Zii Jia bakal berdepan pemain China, Weng Hong Yang pada aksi separuh akhir Terbuka Australia 2023 esok.