Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia membuktikan dirinya sudah kembali dengan menundukkan Jonathan Christie dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia semalam. Turut sama mara ke pusingan kedua ialah seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong.
Zii Jia yang berstatus pemain nombor 13 dunia dianggap pemain bukan pilihan jika dibandingkan pemain Indonesia itu yang berstatus pemain nombor lima dunia.
Namun begitu, anak jati Alor Setar, Kedah itu membuktikan itu sekadar fakta di atas kertas dengan mengalahkan Christie menerusi keputusan 21-13, 21-15.
Lebih menarik, Zii Jia tenang mengawal permainan biarpun ada ketikanya melakukan kesilapan. Dan itu sudah cukup menjamin kemaraannya ke pusingan kedua.
Malam semalam turut menyaksikan Tze Yong mencipta kejutan lebih besar dengan menyingkirkan pemenang tempat ketiga Kejohanan Dunia edisi 2022, Zhao Junpeng dari China.
Menang 21-19 pada set pertama, Junpeng cuba mengheret perlawanan ke penentuan deuce pada set kedua. Namun begitu, Tze Yong berjaya menghapuskan badi kekalahan dengan pemain China dengan meraih kemenangan 26-24.