Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Di sebalik prestasi yang kurang memuaskan kebelakangan ini, perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia terus mendapat kepercayaan penaja. Ini selepas pemain nombor empat dunia itu dilantik sebagai duta syarikat elektronik terkemuka Korea Selatan, LG.
Ia dilihat sebagai tonik terbaik buat pemain perseorangan profesional negara itu bagi memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2024. Zii Jia dilantik sebagai duta LG dengan kontrak selama dua tahun.
“Saya rasa sebagai seorang pemain profesional, memang memerlukan dana untuk latihan dan kesemuanya, malah kos bertanding di luar negara juga sangat mahal ketika ini .
“Jadi dengan kehadiran jenama besar sebegini ia diharap akan menaikkan semangat saya selepas ini,” katanya dalam majlis pengumuman yang berlangsung pada Khamis lepas.
Pengarah Urusan LG Electronics Malaysia, Justin Choi melihat kerjasama dengan bekas juara All England itu bersifat menang-menang kepada kedua-dua pihak.
“Keghairahan, ketabahan dan komitmennya untuk mengejar impian serta menerajui gaya hidup sihat adalah gambaran hebat bagi intipati jenama itu.
“Kami yakin Zii Jia akan memacu dan membuka laluan kepada rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan yang lebih bijak dan lebih baik melalui teknologi dan produk kami,” katanya.