Lee Zii Jia Berdepan Tindakan Undang-Undang

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Keputusan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia untuk menggugurkan jurulatihnya Indra Wijaya merupakan satu kesilapan. Bukan saja dia tersingkir awal dari tiga kejohanan termasuk Terbuka Malaysia. Malah, Zii Jia bakal berdepan tindakan undang-undang akibat keputusannya itu.

Ini selepas akhbar New Straits Times mendedahkan Indra kini sedang menimbang tindakan undang-undang ke atas bekas anak didiknya itu atas sebab pelanggaran kontrak.

Selepas meninggalkan BAM pada Februari 2022, dia menjadi jurulatih Zii Jia dan membantunya menggondol beberapa gelaran termasuk juara badminton Asia dan Terbuka Thailand.

Bagaimanapun, apabila prestasi pemain perseorangan negara itu merudum pada separuh kedua 2022, ini mendorong Zii Jia melepaskan Indra pada November lepas.

Difahamkan kontrak yang dimeterai antara kedua-duanya hanya tamat selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis. Ketika ini, kedua-dua pihak belum membuat sebarang komen tentang hal tersebut.

Tetapi bagi peguam Datuk Seri Jahaberdeen Yunoos, sekiranya benar ada perlanggaran kontrak, maka pihak yang terkesan boleh menuntut ganti rugi atas apa yang berlaku.

Zii Jia baru-baru ini tersingkir di pusingan kedua Indonesia Masters selepas mengalami nasib sama di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan pusingan kedua Terbuka India.