Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Susulan kekalahannya di tangan Lakshya Sen di pusingan pertama Terbuka Indonesia hari ini, Lee Zii Jia mengumumkan bakal berehat seketika dari dunia badminton. Keputusan yang diambil perseorangan lelaki utama negara itu sememangnya mengejutkan ramai pihak.
Zii Jia tumbang kepada Lakshya Sen dengan keputusan 21-17, 21-13 dalam tempoh 33 minit. Seperti Zii Jia, perseorangan lelaki India itu juga bergelut dengan masalah prestasi sebelum ini.
Menurut anak jati Alor Setar, Kedah itu, ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dilakukannya. Tetapi Zii Jia berharap dengan keputusan itu, ia dapat menyemarakkan semula minatnya kepada sukan badminton.
“Saya fikir buat masa ini, saya akan berhenti sementara daripada badminton. Saya tak tahu berapa lama masa saya akan ambil tapi saya akan berhenti dengan badminton buat sementara ini sehingga saya ada motivasi sekali lagi.
“Saya akan mengambil masa ini untuk berehat dan berehat buat masa ini,” katanya kepada bahagian media Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Ramai berharap tempoh rehat yang dinyatakan itu tidak lama. Ini kerana pada Julai ini, Wong Tat Meng bakal menjadi jurulatih Zii Jia bagi menghadapi baki kempen musim BWF tahun ini.
Bagaimanapun, ada yang beranggapan itu tidak akan berlaku dengan mengambil kira kenyataan tambahan Zii Jia.
“Mungkin saya akan berhenti bermain dalam kejohanan – saya tak tahu untuk berapa lama. Saya sudah lama pertimbangkan perkara ini.
“Ia terlampau sukar untuk saya atas gelanggang, saya tak boleh fokus 100%. Bagus untuk saya berehat seketika. Keutamaan saya ialah mencari semula minat saya atas gelanggang.
“Saya tampil cemerlang di Piala Sudirman tetapi saya tidak melakukan perkara berbeza selepas itu,” tambahnya.
Pengumuman yang dibuat Zii Jia juga dijangka mempengaruhi kedudukannya dalam Program Road to Gold (RTG). Ketika ini, beliau berada di luar kedudukan 10 pemain terbaik dunia dan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan peluangnya layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.