Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Legenda perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei kembali menyertai BAM. Beliau bukan menyertai organisasi tersebut sebagai jurulatih tetapi sebahagian daripada 14 orang panel penasihat teknikal BAM dengan tujuan meningkatkan prestasi pasukan badminton kebangsaan.
Selain Chong Wei, enam lagi bekas pemain kebangsaan turut membarisi panel sama. Mereka ialah Roslin Hashim, Ong Ewe Hock, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.
Mereka disertai oleh tujuh lagi panel iaitu CEO Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli; Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.
Barisan panel penasihat teknikal ini akan dipengerusikan oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan dibantu oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Matlamat utama penubuhan panel penasihat teknikal ini ialah ia diharap dapat membantu skuad kebangsaan untuk jangka masa panjang. Selain itu, ia diharap dapat menambahbaik prestasi para pemain dalam temasya besar seperti Sukan Olimpik dan kejohanan yang disenaraikan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Barisan panel ini akan berkhidmat secara tanpa menerima insentif kewangan dan bertanggungjawab memberi nasihat dan bimbingan strategik kepada pihak lembaga dan pengurusan Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Panel akan berkumpul setiap tiga bulan bagi menilai prestasi pemain dan jurulatih. Dari situ, mereka akan membentangkan usul termasuk perubahan pada program latihan, polisi, dan penyertaan kejohanan kepada lembaga dan pengurusan ABM.
Barisan panel penasihat teknikal ini bakal bersidang buat kali pertama pada penghujung Februari ini.