Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bekas bintang badminton dunia, Dato’ Lee Chong Wei tampil untuk mempertahankan tindakan Persatuan Badminton Negara, BAM kerana dilihat menghantar barisan pemain menyertai kejohanan terlalu kerap dalam tempoh singkat tanpa memberi ruang dan peluang kepada pemain untuk berehat.
Sungguhpun begitu, tindakan tersebut dilihat dari sudut yang positif oleh bekas pemain nombor 1 dunia itu sambil menyifatkan ianya bakal memberikan pendedahan yang terbaik kepada para atlet yang mempunyai potensi untuk menjadi bintang dunia pada masa akan datang.
Ini susulan kejadian yang menimpa pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia yang terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 9-11 di set pertama pusingan pertama Masters Indonesia bertemu pemain Denmark, Rasmus Gemke di Bali, baru-baru ini.
Keputusan itu diambil disebabkan ianya berkaitan dengan kecederaan belakang dialaminya ketika perlawanan peringkat akhir di Terbuka Hylo di Jerman bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew pada 8 November lalu.
Namun begitu, Chong Wei menyifatkan ia perkara biasa yang akan dilalui oleh pemain muda dalam usaha untuk menambah pendedahan dan membentuk ketahanan mental dan fizikal menjelang kejohanan penting.
“Sebagai manusia sememangnya kita memerlukan rehat mencukupi namun jika mahu menjadi seorang yang luar biasa perlu membayar dengan harga cukup mahal.
“Penat, sakit, gangguan emosi dan hilang fokus antara perkara akan dirasai Zii Jia namun jika dapat ditangani dengan baik sudah pastinya dia akan menjadi antara pemain badminton hebat dunia.”
“Jika tidak menyertai kejohanan lebih kerap bagaimana mahu mengetahui tahap atau kemampuan maksimum pemain itu?”-Jelas Chong Wei kepada Arena Metro.