Le Tour De Langkawi 2023 Bakal Ditangguhkan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kebiasaannya, perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) selalunya diadakan pada awal tahun iaitu sekitar Februari atau Mac. Hanya tahun ini saja berbeza di mana jelajah perlumbaan berstatus Pro Series itu diadakan pada bulan Oktober lepas. Dan bagi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), mereka tiada minat kembali ke format tarikh sebelumnya.

Menurut Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berpandangan terdapat banyak sebab yang mewajarkan penangguhan tarikh Le Tour de Langkawi ke akhir tahun. Salah satunya ialah tarikh jelajah ProSeries belum lagi dimuktamadkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Ia (LTdL) tidak boleh diadakan pada Februari atau Mac. Tarikh-tarikh yang kami fikirkan untuk didaftarkan ialah pada penghujung tahun hadapan. Kita kena berhati-hati kerana Kejohanan Dunia (trek dan jalan raya) dan beberapa perlumbaan lagi dijangka diadakan pada akhir tahun juga.

“Ini sesuatu yang perlu dibincangkan secara bersama membabitkan PKBM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan UCI. UCI akan menasihatkan kami tentang tarikh terbaik bagi mengelakkan ia bertembung dengan mana-mana perlumbaan jelajah dan meningkatkan penyertaan pasukan-pasukan ternama.

“Sebab kebanyakan mereka (pasukan-pasukan ternama) menyertai perlumbaan tahun ini kerana LTdL merupakan perlumbaan terakhir dalam kalendar perlumbaan jalan raya UCI, dan mereka mahukan mata bagi mengekalkan kedudukan sebagai pasukan-pasukan World Team.

“Amat sukar untuk menarik penyertaan mereka sekiranya kita mengadakan perlumbaan lebih awal, memandangkan mereka akan memberi fokus kepada persediaan perlumbaan-perlumbaan besar seperti Paris-Roubaix pada April dan perlumbaan-perlumbaan Grand Tour yang bermula dari Mei,” katanya.

Perlumbaan LTdL tahun ini menyaksikan penyertaan enam pasukan World Team. Penyertaan pasukan berstatus ini merupakan yang paling tinggi sejak LTdL edisi 2014. Tambah Amarjit lagi, KBS berkemungkinan bakal jadi penganjur LTdL tahun ini tetapi ia boleh saja berubah. Human Voyage Sdn Bhd merupakan penganjur LTdL untuk edisi 2019, 2020 dan 2022 dengan edisi 2021 tidak diadakan akibat pandemik Covid-19.