Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020, Abdul Latif Romly menzahirkan rasa syukur kerana dapat mempertahankan pingat emas miliknya dalam edisi kali ini. Dalam satu temuramah di stesen radio, Latif telah berkongsi sedikit sebanyak tips kejayaannya.
Ketika ditanya, Latif menjelaskan bahawa jika mahu berjaya di dalam hidup, maka kita perlu jaga tiga perkara. Hormat ibu bapa, jaga solat lima waktu dan sentiasa disiplin terhadap masa.
Dalam pada itu, Latif juga berjaya buktikan bahawa pingat emas di Rio empat tahun lalu adalah layak buat dirinya.
“Saya dapat buktikan emas pertama di Rio dahulu bukanlah nasib. Itu adalah hasil pengorbanan dan usaha saya. Kali ini sekali lagi saya buktikan dan berjaya pertahankan pingat emas ini.”
Latif teruja dengan pencapaian beliau namun sedikit kecewa dan sedih tidak dapat menghabiskan lompatan. Menurut atlet yang berusia 24 tahun itu, misinya adalah untuk memecah rekod dunia di temasya kali ini, namun tidak kesampaian.
Anak jati Perlis ini memaklumkan bahawa beliau telah melakukan persiapan selama lapan bulan sebelum menghadapi kejohanan Paralimpik Tokyo 2020. Beliau sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan.
“Saya melakukan persiapan dari bulan satu hingga bulan lapan. Saya berlatih tanpa henti dan tetap berkuarantin di MSN. 8 bulan tak balik kampung dan pingat ini adalah untuk semua ahli keluarga dan rakyat Malaysia.”
Penat lelah Latif terbayar dengan kalungan kilauan emas. Hasil kerja berat dan susah payah dahulu telah menjadikan beliau hari ini.
Latif turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan beliau. Sekalung apresiasi juga buat jurulatih yang banyak membantu, MSN dan juga ISN. Latif menyatakan bahawa pingat ini adalah untuk semua.
Tahniah dan terima kasih Latif. Terbang Latif Terbang!