Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Kesungguhan serta perjuangan atlet badminton negara di pentas Sukan Komanwel kini terbalas apabila pasukan badminton Malaysia secara sah merangkul gelaran juara Sukan Komanwel 2022.
Pasukan Malaysia berjaya menewaskan India, 3-1 pada aksi final yang berlangsung di Birmingham awal pagi tadi.
Malaysia tampil bergaya dalam perlawanan pertama apabila pertaruhan Aaron Chia & Soh Wooi Yik membuahkan hasil setelah mereka mudah menewaskan gandingan beregu lelaki India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty dengan keputusan, 21-18, 21-15.
Goh Jin wei turun dalam perlawanan kedua berdepan Pusarla Venkata Sindhu. Bagaimanapun, Goh Jin Wei terpaksa akur dengan ketangkasan perseorangan wanita dari India itu apabila beliau tewas, 20-22 dan 17-21.
Perlawanan ketiga menyaksikan, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tampil berbisa menewaskan jaguh dunia, Srikanth Kidambi. Kemenangan itu sekaligus menjadi pembakar semangat buat Malaysia untuk menundukkan India. Ng Tze Yong tenang menewaskan Srikanth, 21-19, 6-21 dan 21-16.
Gandingan Pearly Tan dan M Thinaah tak tunggu lama untuk memastikan pingat emas sah milik Malaysia. Pearly dan Thinaah tewaskan Treesa Jolly dan Pullela Gayatri dengan straight set, 21-18, 21-17.
Keputusan penuh menyaksikan Malaysia menundukkan pasukan India, 3-1.
Kisah suka dan duka yang ditelan oleh atlet badminton negara sebelum ini akhirnya berjaya dinoktahkan dengan pungutan pingat emas buat Malaysia. Walaupun pasukan badminton negara sering kali menerima pelbagai kritikan dan tohmahan, wira-wira negara tak pernah mengenal erti putus asa dan mempamerkan mentaliti juara bagi memastikan Malaysia membawa pulang pingat emas.
Tahniah buat Ng Tze Yong, Goh Jin Wei, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chan Peng Soon, Cheah Yee See, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing. Tidak lupa juga kepada barisan kejurulatihan yang berkorban tenaga dan idea buat wira negara. Terima kasih coach Rexy, Hendrawan, Choong Hann dan Thien How.
Buat semua peminat badminton Malaysia, teruskan sokong wira-wira negara. Sokongan-sokongan anda penting untuk menjadi pembakar semangat buat atlet negara.