Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Nama Bonnie Bunyau sudah tidak asing lagi di mata dunia. Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ini menjadi atlet pertama negara yang meraih pingat emas dalam sukan paralimpik Tokyo tempoh hari. Usaha dan pengorbanan anak muda berusia 22 tahun ini membuahkan hasil apabila berjaya memahat namanya dalam lembaran sejarah dunia sebagai salah seorang atlet berjaya.
Dilahirkan pada tanggal 3 Jun 1999, anak muda kelahiran Sarawak ini telah dilahirkan dengan kondisi short statue. Beliau merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik.
Pada tahun 2013, Bonnie telah mengikuti abangnya untuk menyertai satu program pencarian bakat kategori sukan powerlifting. Dari situlah beliau mula mengenali jurulatih negerinya iaitu Coach Jamil.
Pada tahun 2014, Bonnie sudah mula menjalani latihan apabila melihat peluang yang besar dalam sukan itu. Setahun selepas itu, Bonnie mengambil keputusan untuk berhenti sekolah bagi memberikan fokus sepenuhnya kepada sukan powerlifting.
Berbekalkan semangat dan konsistansi, Bonnie mula menjalani latihan sepenuh masa di Kompleks Sukan Kg. Pandan pada tahun 2016. Bonnie mengambil masa selama dua tahun sebelum berjaya mendapatkan pingat pertama peribadinya di Temasya Sukan Para Asia. Akhirnya beliau berjaya meraih pingat perak dalam kategori 65kg.
Pada tahun 2019, Bonnie berjaya membawa pulang dua pingat emas kategori junior dan terbuka 65kg pada kejohanan dunia di Kazakhstan. Tahun 2021, tahun gilang gemilang buat atlet negara ini apabila sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan merangkul pingat emas di sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Kini Bonnie telah menjadi pemegang rekod dunia remaja, rekod dunia dan juga rekod paralimpik. Kejayaan ini didedikasikan buat ayah, ibu dan keluarga yang menjadi sumber inspirasi kejayaan buat seorang atlet luar biasa bernama Bonnie Bunyau.