Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pemilihan jawatan dalam Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) penggal 2023-2026 dijangka menjadi tumpuan ramai. Ini disebabkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu merebut jawatan Naib Presiden PKBM.
Selepas pencalonan untuk pertandingan jawatan ditutup pada 12.00 tengah hari semalam, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab menang tanpa bertanding untuk penggal 2023-2026. Beliau yang menjawat jawatan itu sejak 1990 tidak menerima cabaran daripada mana-mana ahli gabungan.
Tetapi jawatan-jawatan lain dalam PKBM bakal menyaksikan persaingan sengit. Untuk jawatan Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim bakal dicabar dua Naib Presiden untuk penggal sebelumnya, Datuk Amarjit Singh Gill dan Mazlan Md Jail.
Sementara untuk jawatan Naib Presiden, Khairy bakal berdepan saingan daripada sembilan lagi calon untuk mengisi lima slot jawatan berkenaan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) bakal disaingi oleh Amarjit Singh, Firdaus Arshad, Mohd Saiful Abdul Jalil, Nohazlee Md Zaki, Mohd Asri Abd Mubin, Mohd Yusof Abd Nasir, Muhammad Firdaus Dawod, Norazman Ab Samah dan Dr Za’im Ahmad.