Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Sentuhan Nova Widianto sebagai jurulatih regu campuran negara sudah mula menampakkan hasil. Ini dibuktikan menerusi kemenangan regu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke atas regu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati semalam.
Baru beraksi bersama dalam kejohanan antarabangsa buat kali ketiga, Tang Jie-Ee Wei dilihat serasi sepanjang dua pusingan. Malah, mereka juga tidak gentar berdepan juara Terbuka Hylo itu lebih-lebih lagi dengan maklumat regu tersebut yang dibekalkan oleh Nova.
Walaupun hanya memulakan tugas pada 1 Januari lepas, Nova tiba awal seminggu untuk melatih regu-regu campuran negara. Atas sebab itu, Tang Jie, 25, berterima kasih kepada jurulatih mereka atas input yang diberi.
“Kami berpuas hati dengan cara kami bermain dan saya perlu berterima kasih kepada input jurulatih (Nova Widianto) terhadap lawan kami. Ia membantu kami memenangi perlawanan ini.
“Dia beritahu Rehan-Lisa amat konsisten bila menyerang dan bertahan, jadi kami perlu bersabar terutama apabila tidak boleh menamatkan rali dengan serangan kami.
“Menerima hantaran juga sebelum ini merupakan satu masalah tetapi dia membantu kami menjadi lebih baik dari segi aspek itu juga,” katanya.
Bagaimanapun, hari ini, mereka perlu bekerja keras jika mahu layak ke separuh akhir. Ini kerana lawan mereka di peringkat suku akhir ialah pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Regu campuran Thailand itu bukan calang-calang kerana pernah memegang status juara dunia. Mereka layak ke suku akhir selepas mengalahkan juara Sukan Komanwel dari Singapura, Terry Hee-Jessica Tan dengan keputusan 21-12, 21-13 semalam.
“Regu Thailand (Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai) memang kuat tetapi kami juga mempunyai keyakinan bahawa kami boleh menewaskan mereka,” tambahnya.