Kelayakan Piala Asia Wanita B-20: Malaysia Kandas Awal, Kalah Kepada Myanmar

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hasrat skuad bola sepak wanita bawah 20 tahun (B-20) Malaysia mara ke pusingan seterusnya Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 tidak kesampaian. Ini selepas Myanmar berjaya menewaskan Malayan Tigress 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G hari ini.

Kedua-dua pasukan sedar hanya kemenangan yang dapat membawa mereka ke pusingan seterusnya. Tetapi bagi anak-anak buah Cameron Ng, mereka bukan saja perlu menang tetapi turut mempunyai kelebihan jaringan yang besar bagi memintas Myanmar dan layak ke pusingan seterusnya.

Babak pertama menyaksikan Myanmar mendominasi perlawanan dan dibuktikan menerusi gol Wai Hin Phyo pada minit ke-19. Malayan Tigress cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Babak kedua menyaksikan anak-anak buah Cameron tampil lebih garang. Hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nurfarisya Hanim pada minit ke-57.

Bagaimanapun, Myanmar memastikan kemenangan mereka menerusi Yin Loon Eain (minit ke-79) dan Hin Phyo (minit ke-85). Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Di sebalik kekalahan ini, masih ada sinar positif buat anak-anak buah Cameron. Walaupun dibentuk dalam masa singkat, Malayan Tigress B-20 tampak tidak kekok dan berusaha bermain secara positif.

Ini sama sekali amat membantu perancangan jurulatih skuad wanita negara, Soleen Al-Zoubi dalam membentuk pasukan untuk jangka masa panjang.