Kelayakan Piala Asia Wanita B-20: Gol Saat Akhir Kemboja Leburkan Hasrat Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hasrat skuad bola sepak wanita Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20) melakar kemenangan pertama dalam Kumpulan G, Pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 tidak kesampaian. Ini selepas tuan rumah menjaringkan gol saat akhir bagi menewaskan Malayan Tigress 1-0.

Separuh masa pertama menyaksikan aksi seimbang kedua-dua pasukan. Di sebalik usaha kedua-dua pasukan memburu gol pembukaan, keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Babak kedua menyaksikan Kemboja memperkemaskan rentak dan mula mengancam gawang Malayan Tigress yang dikawal Daliea Eliesa. Bagaimanapun, kebanyakan percubaan sama ada sipi atau berjaya dipatahkan barisan pertahanan Malayan Tigress.

Dengan perlawanan kelihatan bakal berakhir dengan keputusan seri, Kemboja melancarkan serangan yang menyaksikan gawang Malayan Tigress bocor juga menerusi gol Tun Kimhong pada minit akhir perlawanan.

Keputusan ini menjadikan perlawanan terakhir menentang Myanmar pada 12 Mac ini amat penting. Ini kerana hanya kemenangan dan kelebihan jaringan yang besar yang dapat membantu anak-anak buah Cameron Ng mara ke pusingan seterusnya.