Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 semalam menyaksikan Kelana United FC mencipta kejutan dengan mengikat Selangor FC tanpa jaringan.
Selangor yang menjadi antara dua negeri menyertai LWN dianggap pilihan utama jika dibandingkan Kelana United yang dibimbing bekas kapten Merah Kuning, Razman Roslan.
Biarpun turun tanpa beberapa tonggak termasuk penyerang skuad wanita kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli, Kelana United mempamerkan aksi bersemangat ke atas The Red Giants.
Skuad wanita Selangor yang dibimbing jurulatih Rosni Abd Hamid berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor berada di tangga kedua LWN dengan lima mata selepas tiga perlawanan. Ini disebabkan Sabah FC kini menjadi pendahulu liga dengan enam mata selepas membelasah LMS Tigress FC 5-0.
Manakala Kelana United pula berada di tempat ketiga LWN dengan empat mata selepas dua perlawanan.