Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Sebagai usaha memantapkan skuad wanita Malaysia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima jemputan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) untuk menyertai kejohanan Women’s International Friendly 2023.
Perkara ini diumumkan FAM menerusi satu kenyataan di laman media sosial rasmi mereka hari ini.
Kejohanan ini bakal berlangsung dari 18 hingga 30 September 2023 dengan menampilkan enam pasukan. Selain Arab Saudi dan Malaysia, Laos, Pakistan, Bhutan dan Lubnan turut mengambil bahagian.
Enam pasukan ini telah dibahagikan mengikut kedudukan ranking dunia terkini FIFA. Kumpulan A menyaksikan Malaysian Tigress (ranking ke-89) diletakkan bersama Arab Saudi (ranking ke-170) dan Pakistan (ranking ke-157).
Manakala Kumpulan B pula menyaksikan Laos (ranking ke-87) diletakkan bersama Bhutan (ranking ke-171) dan Lubnan (ranking ke-138).
Menurut jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi, kejohanan ini dilihat satu peluang buat FAM menjalin kerjasama strategik dengan SAFF terutama dalam pembangunan bola sepak wanita.
“Jika kita lihat kepada ranking kesemua pasukan bertanding, ia dapat memberi faedah kepada pelan jangka panjang skuad bola sepak wanita kebangsaan dari aspek teknikal serta memberi peluang untuk mereka beraksi di dalam persekitaran yang berprestasi tinggi.
“Selain itu, kita juga boleh mengadakan program pertukaran sebagai inisiatif pembangunan pemain selain mempersiapkan barisan pemain kebangsaan ini untuk perlawanan-perlawanan antarabangsa di masa hadapan,” katanya.
Kejohanan ini dilihat bukan saja menambah pengalaman buat Malayan Tigress terutama pemain-pemain muda.
Malah, ini secara tidak langsung membantu pemain-pemain yang beraksi di luar negara seperti Intan Serah Anisah Zulgafli dan Nur Azurin Mazlan memanfaatkan pengalaman mereka untuk membantu skuad kebangsaan.