Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Regu lelaki Malaysia berstatus juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil negara yang melangkah ke pentas separuh akhir Kejohanan Dunia BWF semalam.
Selepas regu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah dan regu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di pentas suku akhir, harapan kem negara disandarkan kepada Aaron-Wooi Yik.
Turun menentang regu China yang berstatus pilihan keenam, Liu Yuchen-Ou Xuanyi, set pertama menyaksikan regu nombor empat dunia ketika ini menang dengan keputusan 21-10.
Merasa tercabar selepas melihat betapa mudahnya mereka didominasi regu dari Malaysia, Yuchen-Xuanyi bangkit memenangi set kedua dengan keputusan 21-15.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik memastikan kemenangan dalam genggaman mereka dengan meraih kemenangan 21-14 dalam set ketiga.
Kedua-duanya melihat kemenangan ini turut didorong motivasi untuk mengembalikan semangat kepada rakan-rakan sepasukan yang tersingkir dari kejohanan. Ini termasuklah dua regu sebelumnya iaitu Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei.
“Mereka kalah dan mereka mencuba kerana ia dilakukan demi negara. Jadi, walaupun bagi kita, kita agak sedih.
“Then (Kemudian), saya rasa ini satu motivation (motivasi) bagi kita jadi sebagai senior to show them what’s the improvement (untuk tunjukkan apa yang perlu diperbaiki), what we have to do in this competition (apa yang perlu kita lakukan dalam pertandingan sebegini. Sekarang, hari ini kita berjaya,” kata Wooi Yik kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani semalam.
Sentimen sama turut dikongsi regunya, Aaron. Bagi beliau, ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas bagi memastikan cabaran negara terus berkibar.
“Responsible (tanggungjawab) ini kita perlu ambil sebagai senior dekat BAM. Kita kena ambil pressure (tekanan)ini walau berapa banyak pun, harus peganglah,” tambahnya.
Regu lelaki utama negara itu kini perlu melepasi cabaran regu lelaki dari Korea Selatan, Seo Seung-jae-Kang Min-hyuk untuk melangkah ke pentas final.