Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Saleh berjaya membuktikan keunggulan beliau apabila mencatat keputusan terbaik apabila muncul selaku naib juara pada Grand Prix Justiniano kelmarin.
Perlumbaan yang berlangsung di Turki itu nyata membuktikan kualaiti sebenar Harrif apabila mempamerkan kayuhan bertenaga sepanjang 155.3 kilometer (km).
Namun begitu, henjutan 300 meter terakhir memastikan pelumba Kuala Terengganu itu berjaya meraih podium tempat kedua pada perlumbaan tersebut.
Bukan itu sahaja, pelumba berusia 34 tahun ini juga turut mengakui bahawa kejayaan itu hasil sokongan daripada sokongan 100 peratus rakan-rakan sepasukan yang membantu mencapai kejayaan di Turki.
Beliau berkata sedemikian selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 jam 19 minit.
Dalam perlumbaan yang penuh dramatik tersebut, pelumba dari Belarus, Karaliok Yauheni (Minsk Cycling Club) meraih tempat pertama manakala pelumba dari Belanda, Bloem Joun (Abloc CT) berpuas hati di tempat ketiga.
‘Syukur Alhamdulilah hari ini saya dapat menamatkan saingan di tempat kedua. Rakan-rakan pasukan banyak membantu saya untuk membawa saya ke depan.’
‘Namun, pada 300 meter terakhir sebelum garisan penamat, saya sedikit keletihan, namun saya dapat mengekalkan kayuhan untuk mengakhiri saingan tempat kedua.’
Harrif juga menegaskan bahawa kemenangan ini juga bakal menjadi suntikan motivasi buatnya untuk terus menempa kejayaan pada masa akan datang.
‘Boleh dikatakan, kemenangan ini sebagai sesi pemanas badan buat saya, sekali gus dapat tingkatkan prestasi sejurus pulih daripada jangkitan Covid-19 tempoh hari.’
‘Apa pun, kemenangan ini pasti dapat memberi motivasi kepada pasukan dan saya akan bekerja keras untuk melakukan yang terbaik pada perlumbaan seterusnya, ’- katanya kepada Kosmo.
Dalam perlumbaan yang sama, empat orang lagi pelumba TSG, Wan Abdul Rahman Hamdan masing-masing berpuas hati untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke 16, Irwandie Lakasek (82), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (134) dan Mohd Zamri Saleh di tangga (163).