Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat kementerian itu dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkongsi misi sama iaitu memperjuangkan nasib atlet kebangsaan dan memacu kecemerlangan sukan negara. Oleh sebab itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi jaminan KBS akan bekerjasama sepenuhnya dengan MOM bagi memastikan perancangan sukan pada tahun hadapan terus berjalan lancar.
Jaminan tersebut sedikit sebanyak meredakan api kemarahan badan-badan sukan tanah air termasuk MOM ekoran kenyataan pedas yang dibuat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim. Ini selepas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mendakwa sukan di negara ini tidak maju kerana dibelenggu gejala rasuah.
Susulan itu, badan-badan sukan negara termasuk MOM dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan balas yang membidas kenyataan Adam Adli itu. Selain itu, mereka juga menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menunjukkan bukti kukuh sebelum mengeluarkan dakwaan sebegitu rupa.
Bagaimanapun, selepas KBS menyertai Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM Kali Ke-203, isu tersebut tidak mahu lagi dipanjangkan oleh Hannah. “Pada mesyuarat hari ini, saya memberikan hasrat saya sebagai Menteri Belia dan Sukan dan mendengar ucapan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden MOM) dan sebenarnya apa yang mahukan adalah sama.
“MOM dan KBS kita nak perjuangkan isu yang sama, jadi lebih baik sekarang ini kita bekerjasama dengan erat untuk kita bangunkan (sukan) bersama,” katanya selepas ditemubual pihak media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.