Jurulatih Tampar Pemain Digantung Serta-Merta

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hari ini, kecoh di laman media sosial apabila seorang jurulatih bola tampar Melaka menampar dua pemain bola tampar bawah 14 tahun negeri tersebut. Peristiwa ini berlaku semasa perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun Malaysia di SJK (C) Pei Hwa pada 16 Disember lalu.

Dalam rakaman video yang tular hari ini, insiden tersebut berlaku tatkala Melaka ketinggalan 16-11 dengan lawan mereka, Johor. Dua pemain yang berusia 14 tahun itu ditampar oleh jurulatih tak bertanggungjawab tersebut kerana menjadi punca pasukan Melaka ketinggalan.

Dua pemain tersebut cuba bersikap tabah selepas itu dan ditenangkan oleh rakan-rakan sepasukan. Pasukan Melaka kemudiannya tewas kepada Johor walaupun berjaya mengheret perlawanan ke set kelima.

Insiden ini mencetuskan kemarahan ramai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Dalam ciapannya di Twitter, beliau berkata, “Ini salah. Sudah bercakap dengan (Menteri Pendidikan) @FadhlinaSiddiq dan kami berdua sedang mendapatkan maklumat lanjut tentang insiden tersebut.”

Reaksi sama turut dikongsi bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Beliau menyifatkan tingkah laku sebegini tidak sepatutnya wujud bukan saja dalam sukan tetapi juga dalam kehidupan. Tambahnya lagi, pendidikan, kesedaran dan pemantauan efektif amat penting bagi memastikan wujud rasa hormat antara pentadbir, jurulatih dan atlet.

Susulan itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengumumkan jurulatih berkenaan digantung serta-merta sehingga siasatan yang dijalankan mereka selesai. MAVA turut menegaskan mereka tidak akan bertolak ansur ke atas sebarang bentuk kekasaran ke atas mana-mana pihak dan bersedia mengenakan tindakan mengikut undang-undang peraturan MAVA.