Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dengan saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) sudah bermula, pasukan-pasukan berusaha merealisasikan cita-cita mereka. Bagi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia itu mahu membuktikan mereka pasukan handalan yang digeruni.
Perkara itu dilaungkan kapten dan penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq. Dia percaya dengan corak permainan yang diterapkan Miguel Garcia, ia membantu pasukan merekodkan keputusan positif menentang Shah Alam City hujung minggu ini.
“Bagi saya, ini perkara barulah sebab saya jarang bermain sebagai flying keeper. Jadi, bila jurulatih (Miguel Garcia) dedahkan permainan gaya macam ini, jadi saya secara tak langsung kena belajar membantu pemain-pemain di hadapan.
“Setakat ini, semuanya baik. Walaupun baru dalam sebulan lebih, saya boleh beradaptasi dengan cara jurulatih ajar,” katanya dalam temubual bersama Astro Arena.
JDT diperkuatkan dengan ramai pemain berpengalaman seperti Mohd Azwann Ismail, Muhammad Ekmal Shahrin, Muhammad Azri Rahman, Abu Haniffa Hasan dan Mohd Awalludin Mat Nawi. Tambah Azrul Hadee lagi, kebanyakan pemain yang direkrut mengikut keperluan taktikal Miguel Garcia.
“Sebab kadang pemain di Malaysia macam tak menitikberatkan soal itu. Jadi, bila ada coach yang berpengalaman luas, bila dia beritahu untuk perbaiki aspek kecil sebegini, saya rasa sangat membantu kepada pemain.
“Secara keseluruhan, yang saya nampak mana tempat yang kita patut tutup, mana kaki yang kita perlu fokus. Dari segi berpasukan pula, ada juga yang diberi penekanan. Bagi saya, itu sangat baik untuk pasukan,” tambahnya.