Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas kali terakhir dipertandingkan pada 2017, perlumbaan berprestij di Asia iaitu Jelajah Malaysia kembali menemui peminat sukan berbasikal negara. Kejohanan edisi ke-54 itu bakal berlangsung dari 26 Februari hingga 2 Mac ini.
Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, Jelajah Malaysia bakal menampilkan 24 pasukan dengan penyertaan 120 pelumba.
Kejohanan kali ini membabitkan lima peringkat dengan peringkat pertama bermula di Bandaraya Melaka dan tamat di Bandar Baru Bangi, Selangor.
“Perlumbaan peringkat pertama membabitkan jarak sejauh 148 kilometer (km) seterusnya peringkat kedua dari Setia Alam ke Cyberjaya dan peringkat ketiga dari Shah Alam ke Teluk Intan.
“Perlumbaan peringkat keempat bermula dari Bagan Datuk, Perak ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang akan menjadi laluan perlumbaan paling mencabar bagi kejohanan kali ini dengan jarak perlumbaan sejauh 145km sebelum peringkat terakhir bermula di Tapah dan tamat di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Jelajah Malaysia di Kota Laksamana semalam.
Turut menyertai beliau dalam majlis tersebut ialah pengarah eksekutif kejohanan, Datuk Nik Rosma Nik Mohamed.
Antara pasukan yang bakal mengambil bahagian ialah JCL Team Ukyo (Jepun), Tashkent City Profesional Team (Uzbekistan), Sidi Ali Unlock Team (Morrocco), Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling (Malaysia) serta pasukan kebangsaan.
Tambah Abu Samah lagi, penganjuran kali ini penting memandangkan ia ditunda beberapa kali atas pelbagai sebab termasuk pandemik COVID-19. Dengan kembalinya saingan Jelajah Malaysia, ia dianggap pentas penting bagi para pelumba mencipta nama mereka.
Selain itu, beliau turut melihat jelajah ini sebagai platform mengenalpasti bakat-bakat baru yang mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
“Kejohanan ini pernah melahirkan nama-nama besar seperti Suhardi Hassan, Loh Sea Keong, Anuar Manan, Mohd Zamri Salleh, Mohd Harif Salleh, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Mohd Adiq Hussainie Othman dan menjadi pemenang keseluruhan, jersi pecut atau pun menjadi pelumba terbaik Asia.
“Justeru, kita melihat Jelajah Malaysia ini platform bagi pelumba muda Malaysia bersaing dan menimba pengalaman berharga kerana bermula penyertaan acara ini jumlah pelumba Malaysia yang diterima masuk ke pasukan antarabangsa meningkat,” katanya.