JDT Sambut Kejuaraan Kali Kelapan Dalam Kelas Tersendiri

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Juara Piala AFC 2015, pasukan Johor Darul Ta’zim telah dinobatkan sebagai juara Liga Super Malaysia buat kali kelapan berturut-turut. Sejarah itu tercipta apabila JDT menamatkan saingan dengan bergaya ke atas KL City FC dalam perlawanan semalam.

Sambutan gilang gemilang yang disambut Johor Darul Ta’zim atas pencapaian ini jelas berada dalam kelas tersendiri. Acara pertunjukan bunga api yang berlangsung malam semalam menyaksikan penyokong Harimau Selatan juga turut serta hadir meraikan keyajaan JDT secara paparan dalam kereta atau ‘in-car viewing’.

Acara itu bermula sebaik sahaja tamat perlawanan antara JDT menentang KL City FC. Momen ‘angkat piala’ bermula di dalam stadium dan diteruskan dengan persembahan di perkarangan tempat letak kereta Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Sambutan ini juga turut menyajikan persembahan piala dan persembahan khas buat para penyokong kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim.

Pasukan yang dibimbing Benjamin Mora itu berjaya mengutip sebanyak 57 mata setelah mengharungi 22 perlawanan dalam saingan kali ini. JDT turut mengekalkan rekod kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir. Pencapaian yang amat membanggakan ini turut menyaksikan JDT memenangi sebanyak 18 perlawanan, 3 kali seri dan 1 kali kalah dalam saingan Liga Super Malaysia 2021.

Juara Liga Super ini telah menyumbangkan wang hadiah kemenangan Liga Super 2021 kepada barisan frontliner sebagai tanda hormat kepada semua petugas barisan hadapan. Langkah ini juga sebagai simbol terima kasih atas pengorbanan wira-wira negara yang bertungkus lumus dan berkorban dalam memerangi wabak Covid-19 di Malaysia.

Kelab ternama ini turut menerima pengiktirafan dan ucapan tahniah daripada badan-badan besar bola sepak peringkat dunia seperti AFC dan FIFA atas pencapaian terbaik mereka. JDT juga merupakan satu-satunya kelab bola sepak yang memenangi liga terbanyak secara berturut-turut di Asia Tenggara. Kecemerlangan itu sekaligus turut mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.

Tahniah dan syabas buat Johor Darul Ta’zim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *