Izzuddin & Sze Fei Tarik Diri Dari Sertai Indonesia Masters

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Semalam, beberapa wakil negara terkandas di pusingan pertama Terbuka India 2023 termasuk regu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin. Dan hari ini, regu yang sama dikatakan telah menarik diri daripada menyertai Indonesia Masters yang bermula pada 24 Januari.

Berita mengejut ini dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter bernama @RudyRoedyanto lebih sejam lepas. Dan ia membuatkan ramai pengguna media sosial berspekulasi punca Sze Fei-Izzuddin menarik diri.

Ada yang menyangka penarikan diri ini berpunca daripada masalah kecederaan. Ada juga berpandangan kedua-duanya kelihatan letih berdasarkan prestasi lesu yang dipamerkan di Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Tetapi tidak mustahil penarikan diri ini dibuat bagi membolehkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memikirkan masa depan Sze Fei-Izzuddin sebagai regu.

Sebelum ini, sudah ada cakap-cakap yang mengatakan gandingan ini akan dipecahkan dengan Sze Fei dan Izzuddin bakal digandingkan dengan pemain lain.

Namun begitu, ura-ura tersebut segera disanggah oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky. Ini kerana beliau percaya Sze Fei-Izzuddin boleh bangkit dan merebut slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Dengan penarikan diri Sze Fei-Izzuddin, ini menjadikan mereka wakil negara kedua tak dapat beraksi di Indonesia Masters selepas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi. Yew Sin-Ee Yi gagal turut serta disebabkan kesilapan pendaftaran mereka oleh BAM.