Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Penyerang Kelana United, Intan Serah Anisah Zulgafli bakal mengetuai cabaran skuad wanita negara untuk Women’s International Friendly 2023 anjuran Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF).
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain yang menyertai kem latihan pusat Malayan Tigress untuk kejohanan berkenaan hari ini.
Skuad wanita yang dibimbing Soleen Al Zoubi menyaksikan 14 pemain yang beraksi di Sukan SEA 2023 dikekalkan termasuk Intan dan Steffi Serge Kaur. Sementara 11 lagi merupakan pemain baru yang menyertai kem Malayan Tigress.
Daripada 11 pemain ini, lima daripadanya ialah pemain skuad Piala AFF Wanita B-19 iaitu Eusvewana Kadius, Azzlyeanieh Kinuli, Daliea Eliessa Mohd Hafiz, Dian Aqilah Muhammad Zuhri dan Nur Adrienna Zamzaihiri.
Malayan Tigress turut diperkuat dua pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Nurul Azurin Mazlan dan Nur Lyana Soberi. Kedua-duanya kini beraksi bersama kelab Kosovo, KFF Presingu seperti yang dikongsikan Harimau Abroad baru-baru ini.
Untuk kejohanan ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Arab Saudi dan Pakistan. Manakala Laos, Lubnan dan Bhutan pula berada dalam Kumpulan B.
Kesemua 25 pemain ini akan berkumpul di kem latihan pusat pada 11 September ini. Setelah itu, skuad Malayan Tigress dijadualkan berlepas ke Taif, Arab Saudi pada 15 September ini.