Ini Senarai 20 Pemain Ke Kem Latihan Futsal Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Sebagai persiapan mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan, jurulatih skuad futsal Malaysia, Rakphol Sainetngam telah menyenaraikan 20 pemain untuk menyertai kem latihan pusat.

Seperti dijangka, majoriti pemain yang dipilih datang dari Pahang Rangers dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Ini tidaklah mengejutkan memandangkan kedua-dua pasukan layak ke pusingan akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dan finalis Piala Futsal Malaysia musim ini.

Kontinjen Pahang Rangers diketuai oleh penjaring terbanyak mereka dalam MPFL, Ahmad Harith Naim Mohd Nasir (14 gol). Sementara trio peledak JDT iaitu Abu Haniffa Hasan (16 gol), Awaluddin Mat Nawi (16 gol) dan Ekmal Shahrin (18 gol) mengetuai kontinjen dari selatan tanah air itu.

Selangor MAC pula mempunyai tiga wakil iaitu Muhammad Syawal Sabaruddin, Farid Mohd Johan dan Syahir Iqbal Khan Ahmad Khan. Sementara Faezwan Ashwandie Ahmad (PFA Odin Sarawak/Pulau Pinang), Alif Izzat Rosdi (Terengganu) dan Muhammad Amirul Khairuddin melengkapkan senarai 20 pemain.

Semua pemain yang dipanggil akan menyertai kem latihan pusat dari 11 September hingga 23 September. Setelah itu, skuad futsal negara akan terbang ke Bangkok, Thailand pada 24 September bagi mengharungi tiga perlawanan persahabatan di sana.

Skuad negara dijangka berlepas ke Uzbekistan pada 5 Oktober ini bagi mengharungi pusingan kelayakan Kumpulan G. Mereka akan berdepan Iraq pada 7 Oktober, Uzbekistan (9 Oktober) dan Kemboja (11 Oktober).

Rakhpol berharap bukan saja skuad negara pamer aksi terbaik di sana. Malah, beliau berharap dapat membawa skuad futsal negara layak ke Piala Asia Futsal buat kali ke-13 dalam sejarah kejohanan.