Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dengan pengesahan perpindahan Cristiano Ronaldo ke Al-Nassr, impian melihat bekas penyerang Manchester United itu beraksi di pentas Asia bakal menjadi kenyataan. Ini termasuk melihatnya beraksi di stadium keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim – satu prospek yang dinantikan warga Malaysia.
Tetapi ini hanya boleh berlaku dengan syarat JDT layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL). Ini berdasarkan perubahan format yang diperkenalkan AFC bermula pada tahun 2023.
24 pasukan elit yang layak menyertai ACL akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Zon Timur dan Zon Barat. Daripada 12 pasukan setiap zon, hanya lapan pasukan terbaik yang layak ke pusingan kalah mati.
Hasrat melihat JDT beraksi di pusingan kalah mati bukan sesuatu yang mustahil. Ini selepas Harimau Selatan berjaya menewaskan Ulsan Hyundai dan mengikat Kawasaki Frontale untuk layak ke peringkat kalah mati ACL musim lepas.
Sudah pasti, pasukan bimbingan Esteban Solari itu sibuk memperkuat pasukan agar dapat melakar pencapaian lebih membanggakan bukan saja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat benua seperti ACL.