Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas skuad hoki senior lelaki Malaysia mencipta sejarah sebagai naib juara Trofi Juara-Juara Asia 2023, giliran skuad hoki 5s wanita pula mengharumkan nama negara.
Skuad hoki 5s wanita berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 yang berlangsung di Salalah, Oman semalam. Mereka menewaskan Indonesia 2-1 dalam penentuan penalti shootout selepas terikat 4-4 dalam aksi sebenar.
Aksi masa sebenar menyaksikan Indonesia membolosi gawang negara sebanyak empat kali menerusi Paulina Ronsumbre, Salma Maulani (dua gol) dan Nisa Indira. Malaysia memastikan mereka tidak ketinggalan jauh pada babak pertama menerusi Zati Alyani Muhamad Zubir.
Dengan kedudukan 4-1 semasa rehat, Malaysia kembali bangkit pada babak kedua. Nurul Safiqah Mat Isa menyempurnakan pukulan penalti stroke bagi memastikan kedudukan 4-2.
Indonesia makin cemas apabila Thibatharshini James menambah gol ketiga skuad negara. Dan kapten Nur Syafiqah Mohd Zain memastikan kedua-dua pasukan terikat 4-4 menerusi pukulan padang.
Dengan keputusan 4-4, penalti shootout bagi menentukan pemenang. Malaysia berjaya layak selepas Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri dan Zati Alyani berjaya menyempurnakan pukulan mereka.
Kejayaan ini membolehkan skuad hoki 5s wanita negara layak secara merit ke Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman yang akan berlangsung dari 24 hingga 31 Januari ini.