Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Skuad hoki senior Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah, India apabila tewas tipis 4-3 dalam aksi final Trofi Juara-Juara Asia 2023. Kejayaan ini membolehkan India bergelar juara untuk edisi 2023.
Dengan status sebagai pasukan nombor sembilan dunia ketika ini, The Speedy Tigers mahu bergelar juara selepas lima kali mendapat tempat ketiga dalam kejohanan. Sementara India pula mahu muncul juara selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018.
Babak pertama menyaksikan Men in Blue terlebih dahulu di hadapan menerusi pukulan penalti Jugraj Singh pada minit kesembilan.
Kegembiraan penyokong tuan rumah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Azrai Abu Kamal menyamakan kedudukan menerusi gol padang lima minit selepas itu.
Malaysia terus menggandakan asakan dan berhasil menambah dua lagi gol menerusi pukulan penalti. Dua gol berkenaan disumbang oleh Razie Rahim (minit ke-18) dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain (minit ke-23).
Bersambung pada babak kedua, India beberapa kali dianugerahkan pukulan penalti tetapi gagal mengancam gawang negara yang dikawal Hafizuddin Othman.
India kemudiannya mengikat kedudukan 3-3 menerusi penalti stroke Harmanpreet Singh dan Gurjant Singh dalam tempoh 15 saat sebelum suku ketiga berakhir.
Tentangan The Speedy Tigers akhirnya berjaya dipatahkan Men in Blue dengan gol kemenangan yang dijaringkan Akashdeep Singh pada minit ke-56.
Biarpun tewas, anak-anak buah Arul menunjukkan semangat melawan yang luar biasa sekaligus melakar pencapaian terbaik sebagai naib johan dalam sejarah kejohanan. Kini, fokus The Speedy Tigers yang seterusnya ialah Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.