Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2023: Malaysia Kerja Keras Atasi Cabaran Korea Selatan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Skuad hoki senior Malaysia menamatkan pusingan round robin Trofi Juara-Juara Asia 2023 dengan kemenangan apabila menundukkan pasukan gergasi Asia, Korea Selatan 1-0 di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai hari ini.

The Speedy Tigers tahu kemenangan bakal memberi mereka kelebihan untuk undian separuh akhir di mana pendahulu bakal bertemu dengan pasukan di tempat keempat.

Justeru, tidak hairanlah sebaik perlawanan bermula, anak-anak buah Arul Selvaraj menggerakkan permainan menyerang bagi mendapatkan kelebihan. Begitupun, Malaysia perlu menunggu hingga minit ke-22 untuk membuka jaringan menerusi gol padang Azrai Abu Kamal.

Gol tersebut mendorong anak-anak buah Sin Seok-gyo untuk memburu gol penyamaan. Bagaimanapun, barisan pertahanan The Speedy Tigers diketuai kapten Marhan Abdul Jalil memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan terus menggandakan asakan ke atas kubu pertahanan Malaysia bagi mendapatkan gol penyamaan.

Bagaimanapun, gol penyamaan yang dicari anak-anak buah Seok-gyo masih tidak kunjung tiba dengan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini membolehkan The Speedy Tigers memintas India sebagai pendahulu buat sementara waktu dengan 12 mata. Sekarang, Malaysia perlu mengharapkan Pakistan mengalahkan India bagi menjamin laluan mudah di pentas separuh akhir.