Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Skuad hoki senior Malaysia berjaya mara ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia 2023 selepas berjaya menewaskan Jepun 3-1 di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India hari ini.
Selepas dibelasah 5-0 dengan India semalam, Malaysia perlu meraih kemenangan bagi mendapatkan kedudukan selesa di pentas separuh akhir.
Babak pertama menyaksikan The Speedy Tigers garang memburu kelebihan awal. Penantian gol awal mereka berakhir apabila Najmi Jazlan menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-13.
Malaysia menyangka kelebihan mereka itu hilang apabila pengadil membatalkan gol tersebut atas alasan pukulan Najmi merbahaya. Pada akhirnya, anak-anak buah Arul Selvaraj merasa lega apabila gol mereka dikira.
Samurai Jepun berusaha mencari gol penyamaan untuk baki separuh masa pertama tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, The Speedy Tigers menggandakan kelebihan mereka menerusi Azuan Hassan pada minit ke-37. Ini menambah tekanan kepada Samurai Jepun untuk merapatkan kedudukan.
Seren Tanaka menyangka telah merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-41. Malangnya, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil kerana pukulan yang dibuat pemain Jepun itu dibuat di luar sudut D.
Malaysia memastikan kemenangan selesa diraih menerusi Shello Silverius pada minit ke-59. Begitupun, rekod tanpa bolos Zaimi Mat Deris berkecai apabila dibolosi Takuma Niwa pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini membolehkan Malaysia mendahului carta Trofi Juara-Juara Asia 2023 buat sementara waktu dengan sembilan mata. Manakala Jepun kekal di tangga keempat dengan dua mata.
The Speedy Tigers masih ada peluang menamatkan kempen round robin Trofi Juara-Juara Asia 2023 sebagai pendahulu dengan syarat tidak tewas kepada Korea Selatan pada 9 Ogos.
Sementara India pula diharap tewas kepada musuh ketat mereka, Pakistan dalam aksi terakhir kumpulan pada hari yang sama.