Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2023: Malaysia Gah Ke Final, Belasah Korea Selatan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Skuad hoki senior Malaysia mengesahkan kemaraan ke final Trofi Juara-Juara Asia 2023 selepas menundukkan Korea Selatan 6-2 dalam aksi separuh akhir di Stadium Mayor Nadhakrishnan, Chennai hari ini.

Dengan Malaysia kini menduduki tangga kesembilan dunia berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), berita baik ini mahu disusuli dengan satu lagi kemenangan ke atas pasukan gergasi Asia itu.

Ini selepas mereka melakukannya dalam aksi round robin kejohanan beberapa hari lepas dengan skuad negara menang tipis 1-0.

Sebaik perlawanan bermula, Korea Selatan bermula di hadapan menerusi gol padang Ji Woo-cheon pada minit kedua. Bagaimanapun, kelebihan mereka hanya bertahan seminit apabila Azrai Abu Kamal menyempurnakan gerakan Firhan Ashari untuk gol penyamaan pada minit ketiga.

Najmi Jazlan kemudiannya menggandakan kelebihan Malaysia dengan pukulan kencang menewaskan penjaga gol Korea Selatan, Kim Jae-hyeon pada minit kesembilan.

Cubaan anak-anak buah Sin Seok-gyo membatalkan gol Najmi atas alasan pukulannya yang tinggi dan membahayakan pemain tidak berhasil. Ini selepas pengadil video, Yasser Khurshid mendapati pemain negara itu tidak membuat apa-apa kesalahan semasa menjaringkan gol.

Pakar pukulan penalti Korea Selatan, Jang Jong-hyun memastikan kedudukan 2-2 dengan pukulan penalti yang padu pada minit ke-14.

Kelegaan Korea Selatan tidak bertahan lama apabila Faizal Saari dan Najmi masing-masing menyempurnakan pukulan penalti buat The Speedy Tigers pada minit ke-19 dan 21.

Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan berusaha merapatkan jurang dengan anak-anak buah Arul Selvaraj. Dan mereka menyangka mendapat peluang menjaringkan gol selepas dianugerahkan penalti stroke pada minit ke-43 oleh pengadil Jepun, Hideki Kinoshita.

Malangnya, pukulan penalti stroke yang diambil Yang Ji-hyun berjaya dinafikan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman sekaligus memastikan keputusan masih kekal 4-2.

Malaysia memastikan kemenangan mereka tidak dicabar apabila Shello Silverius menyumbat dua gol pada minit ke-47 dan 48. Keputusan 6-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini memastikan Malaysia mencipta sejarah layak ke final buat kali pertama. Kini, The Speedy Tigers bakal menanti keputusan India menentang Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir bagi mengetahui siapa lawan mereka di final.

Yang pasti, kelebihan ini pasti mahu dimanfaatkan skuad negara bila beraksi di Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China yang berlangsung dalam tempoh 45 hari lagi.