Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2023: Malaysia Dibelasah India

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

India membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan apabila membelasah skuad Malaysia 5-0 dalam aksi ketiga Trofi Juara-Juara Asia 2023 hari ini.

Dengan Malaysia masih memiliki rekod kemenangan 100% dalam kejohanan, India tahu kemenangan merupakan satu-satunya cara merampas kedudukan sebagai pendahulu.

Ini ditambah dengan keputusan seri 1-1 dengan Jepun yang dialami mereka dalam aksi kedua kejohanan pada 4 Ogos lalu.

Sebaik perlawanan bermula, Men in Blue tampil garang dengan sokongan padu penyokong di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai. Dan mereka mendahului pada minit ke-14 menerusi gol padang Karthi Selvam.

Bersambung pada babak kedua, India terus menggandakan kelebihan menerusi Hardik Singh pada minit ke-32.

Pukulan penalti yang diambil Jarmanpreet Singh berjaya ditepis penjaga gol Hafizuddin Othman tetapi itu sudah cukup buat Hardik memukul bola ke dalam gawang negara.

The Speedy Tigers menyangka telah mendapat gol menerusi pukulan penalti Najmi Jazlan pada minit ke-39.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan pengadil selepas pengadil video melihat pukulan beliau merbahaya kerana terkena badan pemain India semasa gol tersebut dijaringkan.

India terus selesa apabila Harmanpreet Singh pula menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-42. Gurjant Singh dan Jugraj Singh memastikan malam gemilang India dengan masing-masing menyumbat gol pada minit ke-53 dan 54.

Dengan kemenangan ini, Men in Blue memintas The Speedy Tigers sebagai pendahulu kejohanan dengan tujuh mata. Sementara Malaysia kekal di tangga kedua dengan enam mata.

Esok, Malaysia berpeluang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan syarat mereka menewaskan Jepun.

Biarpun mempunyai rekod baik terhadap skuad Negara Matahari Terbit itu, Jepun sudah membuktikan mereka mampu mengikat Pakistan dan India dalam dua aksi terakhir kejohanan.

Justeru, jurulatih negara, Arul Selvaraj perlu mempunyai strategi yang ampuh bagi memastikan kedudukan Malaysia tidak tercabar. Ini lebih-lebih lagi dengan Korea Selatan sebagai lawan terakhir mereka pada 9 Ogos ini.