Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2023: Malaysia Belasah China

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Skuad hoki senior negara terus mempamerkan prestasi mantap dalam Trofi Juara-Juara Asia 2023 dengan menewaskan China 5-1 di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India hari ini.

Kedua-dua pasukan tampil dengan motivasi berbeza. Malaysia turun dengan niat mengutip kemenangan kedua selepas mengalahkan Pakistan 3-1 semalam.

Sementara China yang dibimbing Weng Haiqin pula mahu menebus maruah mereka selepas dibelasah tuan rumah, India 7-2 dalam aksi pertama semalam.

Justeru, tidak hairanlah The Speedy Tigers dikejutkan dengan gol awal China menerusi Chen Chongcong pada minit keempat.

Gol tersebut tidak mematahkan semangat anak-anak buah Arul Selvaraj dan mereka menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Faizal Saari pada minit ke-11. Empat minit selepas itu, Azrai Aizad Abu Kamal menggandakan kelebihan Malaysia.

Bersambung pada babak kedua, Azrai Aizad menambah derita negara Tembok Besar itu menerusi gol padang pada minit ke-45.

Belum sempat China bangkit mengejar, Firhan Ashari menambah gol ketiganya dalam kejohanan pada minit ke-49. Najmi Jazlan memastikan malam gemilang skuad negara menerusi gol kelima pada minit ke-57.

Kemenangan 5-1 ini membolehkan Malaysia mendahului seketika carta Trofi Juara-Juara Asia 2023 dengan enam mata selepas dua perlawanan. Tetapi itu boleh saja berubah sekiranya India meraih kemenangan ke atas Jepun dalam satu lagi aksi hari ini.

Cabaran sebenar Trofi Juara-Juara Asia Malaysia ialah bila berdepan India dalam aksi ketiga kejohanan pada 6 Ogos ini.