Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Skuad hoki Malaysia terpaksa berputih mata kepada Sepanyol pada pusingan cross-over Piala Dunia Hoki 2023. Walaupun tewas, Speedy Tigers berjaya mengheret Redsticks ke penentuan penalti.
Suku pertama perlawanan menyaksikan Redsticks mendominasi perlawanan dengan Malaysia lebih banyak bertahan. Walaupun mendapat dua sudut penalti, ia gagal disempurnakan oleh pasukan Eropah itu bagi meletakkan mereka di depan.
Apabila perlawanan memasuki suku kedua, anak-anak buah Arul Selvaraj cuba menyerang kubu pertahanan Sepanyol. Tetapi taktik jurulatih La Roja, Maximiliano Caldas yang meletakkan ramai pemain dalam sudut D menyukarkan barisan serangan Speedy Tigers.
Ini memaksa Arul menukar perancangan taktikal Speedy Tigers semasa rehat. Dan hasilnya, skuad kebangsaan mendahului menerusi gol padang Faizal Saari pada minit ke-34. Faizal yang tidak dikawal memukul kencang bola melepasi penjaga gol Alvaro Iglesias.
Tersentak, Redsticks bangkit dan berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit. Pertama, menerusi penalti stroke Marc Miralles pada minit ke-40. Kedua, menerusi gol padang Xavier Gispert yang mudah menolak bola ke dalam gawang Speedy Tigers yang kosong.
Amirul Azahar menyangka telah menyamakan kedudukan untuk Speedy Tigers pada suku keempat perlawanan. Bagaimanapun, selepas pengadil merujuk rujukan video, gol tersebut dibatalkan bola terkena belakang kayu hoki Faizal.
Ini mendorong skuad Malaysia menggandakan asakan ke atas kubu La Roja. Dan hasilnya, Speedy Tigers berjaya mengikat Sepanyol 2-2 menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-48.
Dengan keputusan perlawanan 2-2, pemenang perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti. Caldas membuat kejutan dengan memasukkan Mario Garin sebagai penjaga gol gantian.
Percaturan La Roja membawa masuk Garin menjadi apabila dia berjaya menafikan beberapa penalti Speedy Tigers termasuk Firhan Ashari. Ini membantu Sepanyol mara ke suku akhir.
Walaupun kalah, Malaysia masih berpeluang menamatkan Piala Dunia Hoki 2023 dengan baik. Ketika ini, mereka menanti siapa lawan untuk penentuan tempat kesembilan hingga tempat ke-16.
Afrika Selatan menjadi lawan negara untuk pusingan penentuan ini pada 25 Januari. Pastinya, Arul mahu anak-anak buahnya menjadikan Afrika Selatan sebagai mangsa lepas geram selepas dikecewakan La Roja di pusingan cross-over.