Hoki Piala Dunia: Malaysia Mudah Titik New Zealand

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Malaysia muncul naib juara Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 hari ini. Ini selepas Speedy Tigers bekerja keras mengatasi cabaran New Zealand 3-2.

Sebaik wisel perlawanan ditiup, skuad Black Sticks yang dibimbing Greg Nicol mengasak Speedy Tigers. Tetapi benteng pertahanan Malaysia yang diketuai kapten Marhan Jalil kental menyerap asakan sepanjang suku pertama.

Tatkala Black Sticks ghairah menyerang, Speedy Tigers mendahului perlawanan menerusi Faizal Saari pada minit kelapan. Ini selepas bola hantaran Shello Silverius terkena sedikit kayu hoki Faizal sebelum menembusi gawang penjaga gol Dominic Dixon.

Untuk suku kedua seterusnya, New Zealand mengasak bagi memburu gol penyamaan. Tetapi Malaysia kental mempertahankan kedudukan 1-0 sehingga rehat.

Selepas rehat, New Zealand mula mengubah corak permainan dengan harapan dapat menembusi gawang penjaga gol Hafizuddin Othman.

Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Malaysia mendapat gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-42.

Dengan perlawanan memasuki suku keempat, Black Sticks menggandakan asakan untuk merapatkan jurang kedua-dua pasukan. Hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan dalam tempoh seminit menerusi Hayden Phillips dan Sam Lane.

Tetapi Speedy Tigers kembali di depan sekali lagi menerusi Faizal Saari pada minit ke-56. Di sebalik asakan bertali arus Black Sticks, Malaysia terus bertahan sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan ini, Malaysia ke pusingan cross-over dan bakal menanti lawan yang menduduki tempat ketiga Kumpulan D iaitu Sepanyol atau tuan rumah India. Tidak kira siapa lawan mereka, anak-anak buah Arul Selvaraj sudah bersedia.