Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Skuad hoki Malaysia menebus kehampaan dikecewakan Afrika Selatan beberapa hari lepas dengan mengalahkan Jepun 3-2 dalam perlawanan penentuan tempat ke-13 hingga ke-16 Piala Dunia Hoki 2023 hari ini.
Sebaik wisel ditiup, Speedy Tigers mengasak skuad Samurai dan berjaya di hadapan menerusi Shello Silverius pada minit ketujuh. Pukulan sudut penalti yang diambil Razie Rahim terkena kayu Shello sebelum menembusi gawang Takashi Yoshikawa.
Bagaimanapun, perlawanan diselubungi kontroversi apabila Malaysia buat seketika bermain dengan 12 orang gara-gara kekeliruan pertukaran pemain. Tetapi ia berjaya diselesaikan oleh pengadil sebelum perlawanan disambung semula.
Sebelum suku kedua berakhir, Jepun berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Kaito Tanaka pada minit ke-23. Kedudukan 1-1 kekal sehingga rehat.
Suku ketiga menyaksikan Jepun pula di depan menerusi gol padang Seren Tanaka pada minit ke-31. Tersentak, Speedy Tigers menyamakan kedudukan menerusi gol padang Shello tidak lama selepas itu.
Kedua-dua pasukan kemudiannya saling mengasak tetapi Speedy Tigers yang menambah gol ketiga perlawanan. Gol kemenangan Malaysia disumbang oleh Shahmie Irfan Suhami pada minit ke-33.
Jepun berusaha memburu gol penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan kejayaan ini, Malaysia berjaya menggondol tempat ke-13 dalam kejohanan ini.
Pencapaian ini diharap dapat membantu Speedy Tigers untuk mencorak pencapaian lebih cemerlang selepas ini termasuk Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.