Hoki Piala Dunia: Malaysia Hampakan Chile

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Skuad hoki Malaysia terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengatasi pasukan Amerika Selatan, Chile dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda.

Suku pertama menyaksikan Speedy Tigers pada awalnya mengasak Chile tetapi berjaya diserap pertahanan mereka. Peluang terbaik pasukan negara hadir apabila Adrian Henriquez keluar daripada gol untuk mendapatkan bola tetapi bola melepasinya.

Beberapa pemain negara cuba mendapatkannya untuk menolak bola dalam gawang tetapi berjaya dikeluarkan oleh pemain tengah Vicente Goni. Sebaliknya, La Roja mula menguji pertahanan Speedy Tigers menerusi hantaran-hantaran jauh bagi mendapatkan gol.

Usaha tersebut berhasil pada suku kedua menerusi gol pukulan sudut penalti Juan Amoroso pada minit ke-19. Bagaimanapun, Speedy Tigers menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke Razie Rahim.

Tetapi Chile yang menduduki ranking ke-22 dunia kembali mendahului menerusi gol padang Martin Rodriguez pada minit ke-28. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Suku ketiga menyaksikan Malaysia mendapat banyak peluang pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan. Tetapi akhirnya, Speedy Tigers kembali mengikat keputusan 2-2 menerusi gol padang Ashran Hamsani.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada Speedy Tigers memburu gol. Dan hasilnya, Malaysia mendahului menerusi pukulan penalti Norsyafiq Sumantri pada minit ke-41.

Suku keempat menyaksikan Malaysia terpaksa beraksi dengan sembilan pemain untuk seketika selepas dua pemain dilayangkan kad kuning. Ini memaksa Speedy Tigers bertahan diserang pihak lawan.

Chile menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan selepas satu pukulan dari luar padang membolosi gawang Hafizuddin Othman. Tetapi selepas disemak menerusi rujukan video, gol tersebut dibatalkan dan Speedy Tigers kekal mendahului 3-2.

Chile terus memburu gol penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan keputusan ini, Malaysia mengutip kemenangan pertama dalam Kumpulan B dan menduduki tangga ketiga kumpulan dengan Chile di tangga tercorot.

Selepas ini, Speedy Tigers bakal berdepan New Zealand untuk perlawanan terakhir kumpulan pada 19 Januari. Manakala Chile berdepan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada hari yang sama.