Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Malaysia memulakan saingan Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 dengan langkah kiri selepas tewas kepada pasukan gergasi Eropah, Belanda di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela hari ini.
Suku pertama perlawanan menyaksikan skuad Oranje menyerang bertubi-tubi Speedy Tigers tetapi berjaya disekat benteng pertahanan yang diterajui kapten Marhan Mohd Jalil.
Bagaimanapun pada suku kedua, gawang Malaysia bocor juga apabila Thijs van Dam menjaringkan gol padang pada minit ke-20. Kegagalan Najmi Jazlan mengawal bola mengakibatkan ia mudah direbut van Dam sebelum memukul bola melepasi penjaga gol Hafizuddin Othman.
Beberapa minit selepas itu, skuad Oranje yang dibimbing Jeroen Delmee mendapat penalti stroke. Ini selepas Jonas de Geus diterjah oleh pemain pertahanan Amirul Azahar.
Jip Janssen mudah menyempurnakan penalti stroke menewaskan Hafizuddin bagi meletakkan Belanda selesa di depan. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, suku ketiga ibarat ulangan skrip suku pertama dengan Speedy Tigers berusaha mengelak ulangan dibelasah 7-0 oleh lawan sama pada edisi Piala Dunia Hoki lepas berulang.
Tetapi Belanda berjaya menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti Teun Beins pada minit ke-47. Skuad Oranje terus berusaha memburu gol tambahan dan berhasil menambah gol keempat menerusi Jorrit Croon pada minit akhir perlawanan.
Dengan kemenangan ini, Belanda mendahului Kumpulan C diikuti oleh New Zealand di tempat kedua. Manakala Speedy Tigers pula menduduki tempat ketiga kumpulan.
Anak-anak buah Arul Selvaraj diharap dapat bangkit dalam perlawanan Kumpulan C seterusnya menentang Chile pada 16 Januari ini.