Hoki Piala Dunia: Asia Bakal Cipta Sejarah

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pusingan cross-over Piala Dunia Hoki 2023 menyaksikan hanya Korea Selatan menggalas cabaran benua Asia ke suku akhir. Ini selepas tiga lagi wakil Asia, Jepun, Malaysia dan tuan rumah India tewas kepada lawan-masing-masing di pusingan cross-over.

Bagi Korea Selatan, kejayaan ini lebih membanggakan memandangkan majoriti pemain mereka berusia 28 tahun ke atas. Ini termasuk penjaga gol Kim Jae-hyeon, 38, dan penjaring dua gol menentang Argentina di pusingan cross-over, Jang Jong-hyun, 39.

Bagaimanapun, di peringkat suku akhir, lawan mereka bukan calang-calang itu gergasi Eropah, Belanda. Walaupun dibarisi ramai pemain muda, skuad Oranje masih ampuh dan sukar ditandingi lawan di peringkat Kumpulan C termasuk Speedy Tigers.

Tetapi jika berjaya, mereka bakal layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak Piala Dunia Hoki 2006. Itu juga merupakan kali terakhir wakil Asia mara ke separuh akhir Piala Dunia Hoki.

Atas sebab itu, pengurus pasukan negara Datuk Mirnawan Nawawi menyanjung semangat juang tinggi yang dipamerkan Korea Selatan.

“Atas sebab yang tak diketahui, Korea sentiasa berjaya mengatasi lawan mereka apabila situasi memerlukan. Mereka tidak henti berlawan sehingga akhirnya dan Argentina menjadi mangsa mereka yang seterusnya,” kata Mirnawan.

Argentina diikat 5-5 oleh Korea Selatan sebelum tewas dalam penentuan sudut penalti. Dengan Sukan Asia Hangzhou pada Disember ini, Korea Selatan dan India bakal menjadi pencabar Malaysia – satu prospek yang tidak menggentarkan Mirnawan.

“Ketepikan Sukan Asia buat masa ini, mari nyatakan sokongan kepada Korea untuk capai kedudukan setinggi yang boleh dan Malaysia menduduki tempat kesembilan di Bhubaneswar,” tambahnya.