Hoki Piala Dunia: Aksi Longlai Malaysia Dihukum Afrika Selatan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hasrat Malaysia memburu tempat kesembilan Piala Dunia Hoki 2023 tidak kesampaian apabila kalah besar 6-3 kepada Afrika Selatan dalam perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 hari ini.

Sebaik perlawanan bermula, Ama Stokke Stokke mengasak Speedy Tigers. Dan kesungguhan mereka berhasil apabila Bradley Sherwood menjaringkan gol padang pada minit kelapan.

Entah di mana silapnya, skuad hoki negara tampak longlai lebih-lebih lagi bila memasuki suku kedua. Dan ini dimanfaatkan oleh Afrika Selatan untuk menggandakan kelebihan menerusi pukulan sudut penalti Guy Morgan pada minit ke-16.

Anak-anak buah Arul Selvaraj seakan tidak mampu mengejar pemain-pemain Ama Stokke Stokke. Gawang Hafizuddin Othman kemudiannya dibolosi buat kali ketiga, kali ini menerusi pukulan kilas Ntuli Nqobile pada minit ke-25.

Sebelum suku kedua berakhir, Malaysia mendapat pukulan sudut penalti yang pertama. Bagaimanapun, penalti yang diambil Razie Rahim berjaya ditampan keluar oleh pertahanan Afrika Selatan. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Suku ketiga menyaksikan Speedy Tigers kembali merapatkan jurang menerusi pukulan penalti Razie pada minit ke-34. Tatkala Malaysia ghairah memburu gol kedua, Afrika Selatan menjaringkan gol keempat menerusi Keenan Horne pada minit ke-42.

Ama Stokke Stokke kemudiannya diberi penalti stroke selepas Amirul Azahar menjatuhkan pemain Afrika Selatan dalam kotak D. Ia mudah disempurnakan Mustaphaa Cassiem pada minit ke-43.

Tetapi sebelum suku ketiga berakhir, Speedy Tigers pula diberi penalti stroke. Penalti stroke tersebut mudah ditolak masuk Razie bagi merapatkan jurang keputusan kepada 5-2.

Malaysia yang tertekan masuk ke suku keempat dengan misi mustahil memburu tiga gol. Dalam keghairahan mereka memburu gol, Afrika Selatan melancarkan serangan balas pantas dan menambah gol keenam pada minit ke-56.

Belum sempat Ama Stokke Stokke meraikan gol tersebut, Firhan Ashari pula menjaringkan gol ketiga selepas berjaya mengatasi penjaga gol Gowan Jones. Kedua-dua pasukan saling menyerang tetapi keputusan 6-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Afrika Selatan menunggu pemenang perlawanan antara Jepun dengan India untuk perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-12.

Manakala Malaysia juga perlu menunggu keputusan perlawanan sama bagi mengetahui lawan untuk perlawanan penentuan tempat ke-13 hingga ke-16.